NASARUDDIN RAIS

Pengkisahan Sejarah Nasaruddin bin  Abdul Rais dan Sejarah Tanah Air oleh Dr. Mardiana Nordin.

9/20/2020

 
Picture
Dari kiri : Puan Kaflina Kamalul Ariffin, Datin Fatimah Nasaruddin, Puan Rozalinawati Che Roslee, Dr Mardiana Nordin dan Datin Nina. 
Ucapan disampaikan sempena Program Konvoi Pelancongan Warisan Sejarah Perak Tengah Pada 16 September 2020, di Rumah Kulub Drais Padang Tenggala, Bota, Perak

Pengkisahan Sejarah Nasaruddin bin Abdul Rais dan Sejarah Tanah Air
Mardiana Nordin Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Bercakap tentang kecenderungan kita hari ini untuk mengembalikan dan menghidupkan sejarah, suka untuk saya bertanya kenapa sejarah tempatan atau wilayah petempatan kita ini penting? Sejarah negeri Perak secara umumnya, kalaulah anda adalah anak Perak, semestinya sedar tentang peri pentingnya sejarah negeri ini kepada sejarah negara umumnya. Perak ni merupakan antara negeri terawal yang tercatat dalam sejarah negara. Penemuan bukti sejarah dari disiplin arkeologi mengesahkan kewujudan tapak-tapak awal manusia telah ada di negeri ini malahan sejak zaman Paleolitik lagi, khususnya apabila diisytiharkan penemuan ‘Perak Man’ di Lenggong. Dan kemudian ada juga bukti kewujudanKerajaan Gangga Nagara, Beruas dan Manjong seperti mana yang dicatatkan di dalam naskhah Sulalatus Salatin – semua fenomena sejarah ini sebenarnya sentiasa menyemarakkan minat para ilmuan untuk mengkaji tentang sejarah Perak. Oleh kerana dapatan dan sumber sejarahnya masih terhad, jadi usaha menggali sebanyak mungkin bukti sentiasa dilakukan dari masa ke semasa. Dan inilah yang menjadikan sejarah negeri Perak ini sentiasa hidup.

Kesultanan Perak diasaskan pada tahun 1528 oleh Raja Muzaffar Shah ibn Sultan Mahmud Shah (Melaka). Sumber-sumber sejarah menunjukkan Sultan Muzaffar ini memulakan pentadbiran kerajaan Perak di Ayer Mati, Lambor Kanan, Parit, Perak. Di sini kita dapat lihat, betapa signifikasinya wilayah Perak Tengah ini kepada perkembangan sejarah negeri Perak. Sehingga kini negeri Perak telah diperintah oleh 35 orang sultan. Sepanjang tempoh pemerintahan Sultan-sultan ini, banyak kali wilayah2 di Perak Tengah menjadi pilihan mereka untuk bersemayam. Malahan makam2 raja juga ada di daearah ini. Catatan sejarah dan Raja Chulan, pujangga Kesultanan Perak merekodkan di dalam Misa Melayu antara tapak persemayaman yang masyhur dan makmur pada abad ke-18 di Perak antaranya adalah di iaitu Pulau Tiga, Berahman Indera (Bota Kanan) dan Pulau Cempaka Sari (Parit?). Pastilah di pusat ini berlakunya pelbagai peristiwa penting seperti pertabalan, perkahwinan, hubungan diplomatik, peperangan dan sebagainya.

Menginjak kepada abad-abad berikutnya, negeri Perak terus membangun malahan pernah menjadi negeri paling kaya di Tanah Melayu pada abad ke-17 hingga abad ke-20, khususnya kerana pengeluaran bijih timah. Kuasa Barat terutamanya British pun campurtangan secara langsung di dalam politik negara kita ini bermula di negeri Perak. Residen British yang pertama juga dilantik di negeri Perak, iaitu JWW Birch. Satu-satunya peristiwa paling berani masyarakat tempatan membunuh seorang residen British, juga di Perak dan spesifiknya di Pasir Salak. Jadi, sebenarnya kita dapat lihat betapa pentingnya sejarah Perak dan Perak Tengah ini diingati supaya perjuangan masyarakat lalu itu tidak hilang dari ingatan generasi kemudian.

Biasanya, apabila seorang pelajar sejarah ingin mengembangkan penyelidikan, melakukan kajian-kajian baru, menyelongkar sumber-sumber sejarah sama ada di Arkib2, atau perpustakaan dalam dan luar negara, usaha terarah kepada subjek yang bermakna terhadap sejarah negara. Tentulah merujuk kepada peristiwa2 yang terkesan kepada masyarakat waktu itu, malahan hingga kemudiannya. Justeru, kita tidak boleh lari dari memberi perhatian kepada tokoh-tokoh yang berperanan dalam mencetuskan peristiwa2 penting tadi. Di sinilah letaknya kepentingan tokoh yang sedang kita raikan, ‘Nasarudin Abdul Rais’. 

Kalau ditanya kepada generasi2 yang muda, yang kenal sejarah negara ini secara umum sahaja. Tokoh yang sering diangkat adalah Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dll. Tidaklah dinafikan peranan mereka. Ya, mereka memang khazanah negara. Namun pada masa yang sama, kita harus sedar, terdapat ramai lagi tokoh-tokoh yang seiringan dengan mereka, watak2 yang turut sama berjuang tetapi tidak sebagai pemimpin utama. Watak2 yang menjadi penyokong dan penggerak. Bukan sahaja di peringkat persekutuan, di peringkat negeri juga malah di peringkat daerah2 dan kampung. Watak2 ini sebenarnya nadi kepada kekuatan pemimpin2 tadi. Justeru, usaha dari pihak IGrow ini, untuk mengetengahkan seorang tokoh tempatan yang jasanya bukan bersifat mikro di wilayahnya sahaja tetapi juga menyumbang jasa bakti kepada seluruh negara wajar dipuji.

Nasaruddin b. Abdul Rais yang sedang kita usahakan hari ini untuk diangkat sebagai tokoh pejuang kemerdekaan Tanah Melayu telah menonjolkan wibawanya dalam bidang politik, pentadbiran mahupun sosio-ekonomi negara. Dilahirkan pada tahun 1914, di Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan, Perak anak kepada Kulub Drais@Abd Rais b. Imam Kanda Latif. Bapanya juga seorang usahawan berjaya di daerah Perak Tengah sekitar tahun 1900 hingga 1964. Seorang anak Melayu berkelulusan dari Raffles College, Singapura, pada waktu itu, pastilah Nasarudin ini bukan sebarangan orangnya.

Pertama, beliau sedar tentang keperluan memperjuangkan negara melalui saluran politik. Justeru, Nasarudin turut bergerak bersama pemimpin-pemimpin Melayu menentang Malayan Union 1946 sehinggalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) tertubuh rentetan darinya. Hasilnya, Nasaruddin kemudian menjadi antara penggerak UMNO ketika era Dato’ Onn b. Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Malahan beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung UMNO (kini Ahli Majlis Tertinggi) dalam kedua-dua era; Dato’ Onn (1950-1951) dan Tunku Abdul Rahman (1952/1953).

Kedua, atas faktor kelayakannya, yang ini sangat menarik kerana Nasaruddin pernah dilantik sebagaiAnggota Tidak Rasmi Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) iaitu pertama kali selepas Majlis Penasihat Malayan Union dibubarkan, Majlis Perundangan ini ditubuhkan sebagai badan perundangan tertinggi Persekutuan Tanah Melayu 1948 (seperti parlimen hari ini), dan beliaulah antara tokoh terawal yang dilantik sebagai ahli tidak rasmi majlis tersebut. Majlis Perundangan Persekutuan ini sebenarnya mempunyai ahli seramai 75 orang (iaitu 25 ahli rasmi dan 3 ahli ex-officio, 11 orang ahli dari Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat, 11 orang pegawai British dan 50 orang ahli tidak rasmi). Buat pertama kali Majlis Perundangan mempunyai kelebihan dua pertiga bilangan suara ahli tidak rasmi dan Nasarudin Rais merupakan salah seorang daripadanya. Ahli tidak rasmi ini adalah mereka yang dilantik dari bukan kakitangan kerajaan, dengan kata lain dilantik dari kalangan orang-orang berkepentingan daripada rakyat jelata yang boleh mewakili rakyat, berpengetahuan baik dan juga bijak pandai. Secara jelas fungsi Majlis Perundangan Persekutuan adalah sebagaimana Parlimen kita yang wujud pada hari ini iaitu membahaskan dan meluluskan undang-undang Persekutuan. Mulai tahun 1948 ini, suara rakyat semakin mendapat tempat dalam prosedur meluluskan meluluskan undang-undang persekutuan dan antara isu yang menjadi perbincangan majlis ini adalah perbekalan (bajet tahunan), kewarganegaraan, ke arah pilihanraya perbandaran dan persekutuan, penubuhan Majlis Kerajaan Tempatan, pendidikan dan pelbagai isu yang lain.

Selain itu, Nasarudin Rais turut pernah dilantik sebagai ahli Majis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Secara umumnya majlis ini berfungsi untuk menasihat raja-raja di negeri masing-masing dalam mengambil keputusan berhubung isu- isu pembangunan negeri.

Ketiganya, Nasaruddin dilihat merupakan antara pemikir dan pejuang dalam pembangunan sosio-ekonomi dan ketara sehingga kini kita dapat lihat dalam industri getah. beliau juga banyak memperjuangkan hak pemilikan tanah untuk orang Melayu dan memperjuangkan kedudkan/nasib pekebun2 kecil tempatan pada waktu itu khususnya kesengsaraan di zaman penjajahan British ini.
​

‘Bota Forest Reserve’ adalah antara perjuangannya untuk mengagihkan tanah kepada penduduk miskin di tiga mukim iaitu Bota, Layang-Layang dan Lambor untuk dibangunkan sebagai tapak rumah dan kebun. Selanjutnya diperjuangkan pula Tabung Tanaman Semula Getah sebagai bantuan subsidi kepada pekebun kecil getah daripada cukai getah yang dikenakan. Kesemua sumbangan idea dan tenaga yang beliau pamerkan dalam industri getah ini mendorong pihak British melantik beliau sebagai wakil Tanah Melayu ke Persidangan Getah Asli Sedunia di Copenhagen, pada 11 Mei 1953.

Sayangnya manusia sehebat beliau hanya berkesempatan menyumbang jasa baktinya tidak begitu lama. Nasarudin terkorban di dalam nahas pesawat udara di Calcutta, India semasa dalam perjalanan untuk menghadiri persidangan tersebut di Copenhagen pada tahun 2 Mei 1953 pada usia 39 tahun.

Justeru, sebenarnya apa nilai yang boleh kita lihat atau ambil dari pengkisahan di atas ini? Nasarudin ini adalah seorang manusia yang istimewa di zamannya malah jika beliau ada pada hari ini, juga tetap seorang individu yang istimewa.​

Bayangkan, dalam begitu ramai masyarakat Melayu di zaman itu beliau yang dipilih oleh British untuk menjadi ahli tidak rasmi Majlis Perundangan Persekutuan. Pasti beliau ini sangat berkepentingan bukan sahaja pada kerajaan Britih malah kepada masyarakat negeri Perak dan Tanah Melayu seluruhnya. Fungsi Majlis ini adalah membahas dan meluluskan undang2, dan ketika itu banyak isu yang perlu diputuskan, diluluskan terutama isu2 yang sensitif dan perlu kefahaman dari setiap anggota majlis, perlu tolak ansur dari pelbagai kaum, dan perlu bijaksana bagi merangka undang2 untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara. Antaranya isu kewarganegaraan, bajet (perbekalan) tahunan persekutuan, merangka pilihanraya perbandaran dan pilihanraya umum, kesihatan dan banyak lagi.

Beliau juga terbukti seorang tokoh yang sangat berani, bijaksana dan berwawasan dalam membela nasib masyarakat di zamannya. Dan ini terbukti kerana hasil perjuangannya dahulu dinikmati hingga kini seperti Felcra Nasarudin dan Kampung Rezab Nasarudin.
Seperkara lagi, ada satu insiden yang melibatkan konflik di dalam UMNO dan kepimpinan negeri Perak, dalam pembacaan saya yang awal dicatatkan, Nasarudin mengambil Langkah beralah tetapi tidak meninggalkan parti kerana beliau sedar tentang perlunya tolak ansur untuk memastikan perpaduan di dalam parti.





0 Comments



Leave a Reply.

    Pengarang

    Kartini Kamalul Ariffin

    Archives

    September 2020

    Categories

    All

    RSS Feed

Powered by Create your own unique website with customizable templates.
  • Home
  • Keluarga / Family
  • Mini Galleri Nasaruddin
  • Sejarah Rumah Pusaka
  • Galeri Gambar
  • Media
  • Home
  • Keluarga / Family
  • Mini Galleri Nasaruddin
  • Sejarah Rumah Pusaka
  • Galeri Gambar
  • Media