Pengkisahan Sejarah Nasaruddin bin Abdul Rais dan Sejarah Tanah Air oleh Dr. Mardiana Nordin.9/20/2020 Dari kiri : Puan Kaflina Kamalul Ariffin, Datin Fatimah Nasaruddin, Puan Rozalinawati Che Roslee, Dr Mardiana Nordin dan Datin Nina. Ucapan disampaikan sempena Program Konvoi Pelancongan Warisan Sejarah Perak Tengah Pada 16 September 2020, di Rumah Kulub Drais Padang Tenggala, Bota, Perak
Pengkisahan Sejarah Nasaruddin bin Abdul Rais dan Sejarah Tanah Air Mardiana Nordin Jabatan Sejarah Universiti Malaya Bercakap tentang kecenderungan kita hari ini untuk mengembalikan dan menghidupkan sejarah, suka untuk saya bertanya kenapa sejarah tempatan atau wilayah petempatan kita ini penting? Sejarah negeri Perak secara umumnya, kalaulah anda adalah anak Perak, semestinya sedar tentang peri pentingnya sejarah negeri ini kepada sejarah negara umumnya. Perak ni merupakan antara negeri terawal yang tercatat dalam sejarah negara. Penemuan bukti sejarah dari disiplin arkeologi mengesahkan kewujudan tapak-tapak awal manusia telah ada di negeri ini malahan sejak zaman Paleolitik lagi, khususnya apabila diisytiharkan penemuan ‘Perak Man’ di Lenggong. Dan kemudian ada juga bukti kewujudanKerajaan Gangga Nagara, Beruas dan Manjong seperti mana yang dicatatkan di dalam naskhah Sulalatus Salatin – semua fenomena sejarah ini sebenarnya sentiasa menyemarakkan minat para ilmuan untuk mengkaji tentang sejarah Perak. Oleh kerana dapatan dan sumber sejarahnya masih terhad, jadi usaha menggali sebanyak mungkin bukti sentiasa dilakukan dari masa ke semasa. Dan inilah yang menjadikan sejarah negeri Perak ini sentiasa hidup. Kesultanan Perak diasaskan pada tahun 1528 oleh Raja Muzaffar Shah ibn Sultan Mahmud Shah (Melaka). Sumber-sumber sejarah menunjukkan Sultan Muzaffar ini memulakan pentadbiran kerajaan Perak di Ayer Mati, Lambor Kanan, Parit, Perak. Di sini kita dapat lihat, betapa signifikasinya wilayah Perak Tengah ini kepada perkembangan sejarah negeri Perak. Sehingga kini negeri Perak telah diperintah oleh 35 orang sultan. Sepanjang tempoh pemerintahan Sultan-sultan ini, banyak kali wilayah2 di Perak Tengah menjadi pilihan mereka untuk bersemayam. Malahan makam2 raja juga ada di daearah ini. Catatan sejarah dan Raja Chulan, pujangga Kesultanan Perak merekodkan di dalam Misa Melayu antara tapak persemayaman yang masyhur dan makmur pada abad ke-18 di Perak antaranya adalah di iaitu Pulau Tiga, Berahman Indera (Bota Kanan) dan Pulau Cempaka Sari (Parit?). Pastilah di pusat ini berlakunya pelbagai peristiwa penting seperti pertabalan, perkahwinan, hubungan diplomatik, peperangan dan sebagainya. Menginjak kepada abad-abad berikutnya, negeri Perak terus membangun malahan pernah menjadi negeri paling kaya di Tanah Melayu pada abad ke-17 hingga abad ke-20, khususnya kerana pengeluaran bijih timah. Kuasa Barat terutamanya British pun campurtangan secara langsung di dalam politik negara kita ini bermula di negeri Perak. Residen British yang pertama juga dilantik di negeri Perak, iaitu JWW Birch. Satu-satunya peristiwa paling berani masyarakat tempatan membunuh seorang residen British, juga di Perak dan spesifiknya di Pasir Salak. Jadi, sebenarnya kita dapat lihat betapa pentingnya sejarah Perak dan Perak Tengah ini diingati supaya perjuangan masyarakat lalu itu tidak hilang dari ingatan generasi kemudian. Biasanya, apabila seorang pelajar sejarah ingin mengembangkan penyelidikan, melakukan kajian-kajian baru, menyelongkar sumber-sumber sejarah sama ada di Arkib2, atau perpustakaan dalam dan luar negara, usaha terarah kepada subjek yang bermakna terhadap sejarah negara. Tentulah merujuk kepada peristiwa2 yang terkesan kepada masyarakat waktu itu, malahan hingga kemudiannya. Justeru, kita tidak boleh lari dari memberi perhatian kepada tokoh-tokoh yang berperanan dalam mencetuskan peristiwa2 penting tadi. Di sinilah letaknya kepentingan tokoh yang sedang kita raikan, ‘Nasarudin Abdul Rais’. Kalau ditanya kepada generasi2 yang muda, yang kenal sejarah negara ini secara umum sahaja. Tokoh yang sering diangkat adalah Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dll. Tidaklah dinafikan peranan mereka. Ya, mereka memang khazanah negara. Namun pada masa yang sama, kita harus sedar, terdapat ramai lagi tokoh-tokoh yang seiringan dengan mereka, watak2 yang turut sama berjuang tetapi tidak sebagai pemimpin utama. Watak2 yang menjadi penyokong dan penggerak. Bukan sahaja di peringkat persekutuan, di peringkat negeri juga malah di peringkat daerah2 dan kampung. Watak2 ini sebenarnya nadi kepada kekuatan pemimpin2 tadi. Justeru, usaha dari pihak IGrow ini, untuk mengetengahkan seorang tokoh tempatan yang jasanya bukan bersifat mikro di wilayahnya sahaja tetapi juga menyumbang jasa bakti kepada seluruh negara wajar dipuji. Nasaruddin b. Abdul Rais yang sedang kita usahakan hari ini untuk diangkat sebagai tokoh pejuang kemerdekaan Tanah Melayu telah menonjolkan wibawanya dalam bidang politik, pentadbiran mahupun sosio-ekonomi negara. Dilahirkan pada tahun 1914, di Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan, Perak anak kepada Kulub Drais@Abd Rais b. Imam Kanda Latif. Bapanya juga seorang usahawan berjaya di daerah Perak Tengah sekitar tahun 1900 hingga 1964. Seorang anak Melayu berkelulusan dari Raffles College, Singapura, pada waktu itu, pastilah Nasarudin ini bukan sebarangan orangnya. Pertama, beliau sedar tentang keperluan memperjuangkan negara melalui saluran politik. Justeru, Nasarudin turut bergerak bersama pemimpin-pemimpin Melayu menentang Malayan Union 1946 sehinggalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) tertubuh rentetan darinya. Hasilnya, Nasaruddin kemudian menjadi antara penggerak UMNO ketika era Dato’ Onn b. Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Malahan beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung UMNO (kini Ahli Majlis Tertinggi) dalam kedua-dua era; Dato’ Onn (1950-1951) dan Tunku Abdul Rahman (1952/1953). Kedua, atas faktor kelayakannya, yang ini sangat menarik kerana Nasaruddin pernah dilantik sebagaiAnggota Tidak Rasmi Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) iaitu pertama kali selepas Majlis Penasihat Malayan Union dibubarkan, Majlis Perundangan ini ditubuhkan sebagai badan perundangan tertinggi Persekutuan Tanah Melayu 1948 (seperti parlimen hari ini), dan beliaulah antara tokoh terawal yang dilantik sebagai ahli tidak rasmi majlis tersebut. Majlis Perundangan Persekutuan ini sebenarnya mempunyai ahli seramai 75 orang (iaitu 25 ahli rasmi dan 3 ahli ex-officio, 11 orang ahli dari Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat, 11 orang pegawai British dan 50 orang ahli tidak rasmi). Buat pertama kali Majlis Perundangan mempunyai kelebihan dua pertiga bilangan suara ahli tidak rasmi dan Nasarudin Rais merupakan salah seorang daripadanya. Ahli tidak rasmi ini adalah mereka yang dilantik dari bukan kakitangan kerajaan, dengan kata lain dilantik dari kalangan orang-orang berkepentingan daripada rakyat jelata yang boleh mewakili rakyat, berpengetahuan baik dan juga bijak pandai. Secara jelas fungsi Majlis Perundangan Persekutuan adalah sebagaimana Parlimen kita yang wujud pada hari ini iaitu membahaskan dan meluluskan undang-undang Persekutuan. Mulai tahun 1948 ini, suara rakyat semakin mendapat tempat dalam prosedur meluluskan meluluskan undang-undang persekutuan dan antara isu yang menjadi perbincangan majlis ini adalah perbekalan (bajet tahunan), kewarganegaraan, ke arah pilihanraya perbandaran dan persekutuan, penubuhan Majlis Kerajaan Tempatan, pendidikan dan pelbagai isu yang lain. Selain itu, Nasarudin Rais turut pernah dilantik sebagai ahli Majis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Secara umumnya majlis ini berfungsi untuk menasihat raja-raja di negeri masing-masing dalam mengambil keputusan berhubung isu- isu pembangunan negeri. Ketiganya, Nasaruddin dilihat merupakan antara pemikir dan pejuang dalam pembangunan sosio-ekonomi dan ketara sehingga kini kita dapat lihat dalam industri getah. beliau juga banyak memperjuangkan hak pemilikan tanah untuk orang Melayu dan memperjuangkan kedudkan/nasib pekebun2 kecil tempatan pada waktu itu khususnya kesengsaraan di zaman penjajahan British ini. ‘Bota Forest Reserve’ adalah antara perjuangannya untuk mengagihkan tanah kepada penduduk miskin di tiga mukim iaitu Bota, Layang-Layang dan Lambor untuk dibangunkan sebagai tapak rumah dan kebun. Selanjutnya diperjuangkan pula Tabung Tanaman Semula Getah sebagai bantuan subsidi kepada pekebun kecil getah daripada cukai getah yang dikenakan. Kesemua sumbangan idea dan tenaga yang beliau pamerkan dalam industri getah ini mendorong pihak British melantik beliau sebagai wakil Tanah Melayu ke Persidangan Getah Asli Sedunia di Copenhagen, pada 11 Mei 1953. Sayangnya manusia sehebat beliau hanya berkesempatan menyumbang jasa baktinya tidak begitu lama. Nasarudin terkorban di dalam nahas pesawat udara di Calcutta, India semasa dalam perjalanan untuk menghadiri persidangan tersebut di Copenhagen pada tahun 2 Mei 1953 pada usia 39 tahun. Justeru, sebenarnya apa nilai yang boleh kita lihat atau ambil dari pengkisahan di atas ini? Nasarudin ini adalah seorang manusia yang istimewa di zamannya malah jika beliau ada pada hari ini, juga tetap seorang individu yang istimewa. Bayangkan, dalam begitu ramai masyarakat Melayu di zaman itu beliau yang dipilih oleh British untuk menjadi ahli tidak rasmi Majlis Perundangan Persekutuan. Pasti beliau ini sangat berkepentingan bukan sahaja pada kerajaan Britih malah kepada masyarakat negeri Perak dan Tanah Melayu seluruhnya. Fungsi Majlis ini adalah membahas dan meluluskan undang2, dan ketika itu banyak isu yang perlu diputuskan, diluluskan terutama isu2 yang sensitif dan perlu kefahaman dari setiap anggota majlis, perlu tolak ansur dari pelbagai kaum, dan perlu bijaksana bagi merangka undang2 untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara. Antaranya isu kewarganegaraan, bajet (perbekalan) tahunan persekutuan, merangka pilihanraya perbandaran dan pilihanraya umum, kesihatan dan banyak lagi. Beliau juga terbukti seorang tokoh yang sangat berani, bijaksana dan berwawasan dalam membela nasib masyarakat di zamannya. Dan ini terbukti kerana hasil perjuangannya dahulu dinikmati hingga kini seperti Felcra Nasarudin dan Kampung Rezab Nasarudin. Seperkara lagi, ada satu insiden yang melibatkan konflik di dalam UMNO dan kepimpinan negeri Perak, dalam pembacaan saya yang awal dicatatkan, Nasarudin mengambil Langkah beralah tetapi tidak meninggalkan parti kerana beliau sedar tentang perlunya tolak ansur untuk memastikan perpaduan di dalam parti.
0 Comments
Pada 16th September 2020, satu Majlis Memperingati Kemerdekaan Nasaruddin Rais telah diadakan di rumah pusaka beliau di Padang Tenggala, Bota Kanan, Perak.
Majlis yang telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohammed juga merupakan ADUN kawasan tersebut , En. Nordin Abdul Malek , Pengerusi IGROW Perak , Dr Mardiana Nordin, Pensyarah Kanan Fakulti Sejarah Universiti Malaya, Sarjan Mejar Zaman, Timbalan Ketua Polis Balai Bota, Puan Rozalina Che Roslan, Pegawai Daerah Perak Tengah, waris Nasaruddin dan Abdul Rais, rakan media, pengusaha IKS Perak Tengah dan orang kampung sekitar Bota Kanan. Berikut adalah teks ucapan waris Allhayarham Nasaruddin , Datin Fatimah Nasaruddin yang telah disampaikan oleh anaknya Kartini binti Kamalul Ariffin ( cucu Nasaruddin) mewakili Fatimah. Bismillah…. Assalamuaikum dan selamat tengahari saya ucapkan kepada
Terlebih dahulu marilah kita merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah berkat dan keizinan daripada-Nya, dapatlah kita bersama-sama di majlis perasmian Mini Galeri Tokoh Kemerdekaan Allahyarham Nasaruddin bin Abd Rais yang diadakan buat julung-julung kalinya ini. Kami juga merasa amat gembira dan bersyukur, bukan saja dapat bersama-sama dalam majlis yang cukup bersejarah ini, malah majlis hari ini telah mengumpulkan juga ramai ahli keluarga yang jauh dan dekat , waris Allahyarham Abd. Rais. Ramai juga yang baru berkenalan pada hari ini seakan-akan satu perjumpaan REUNION keluarga. Saya juga ingin memaklumkan disini , pada 21/8 yang lepas , bapa saudara saya Tuan Haji. Hoesni Nasaruddin telah meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara disebabkan komplikasi jantung. Beliau merupakan anak sulong Allayarham Nasaruddin. Mohon kita sedekahkan al-fatihah kepada. T erima kasih. Moga roh Tuan Haji ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Tuan- tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, Inilah rumah pusaka Kulop Rais yang dibina sekitar 1900, dan disinilah Tok Nasaruddin dibesarkan. Tok kami, Allahyarham Nasaruddin telah pun pergi lebih 67 tahun yang lalu. Mungkin ada yang tidak tahu tentang tragedy yang menimpa beliau ketika berusia 39 tahun. Tok , dalam perjalanan ke Coppenhagen menaiki pesawat pada tahun 1953 untuk menghadiri satu Sidang Getah Asli sedunia. Pesawat yang berlepas dari Singapura tersebut telah terhempas di Calcutta India kerana cuaca buruk. Kesemua 43 anak kapal juga turut terkorban. Ketika itu ibu saya masih kecil berusia lebih kurang 5 tahun. Pemergian ayahanda membuatkan ibu tiada peluang mengenali wataknya dengan lebih dekat. Tidak banyak peristiwa bersama Nasaruddin yang ibu ingat . Bila saya bertanya apakah kenangan manis bersama ayahnya, Nasaruddin Dalam sedu sedan ibu bercerita …. “ Pagi Tok Nasaruddin nak berangkat ke Copenhagen itu dia peluk Mak dan bertanya , Timah nak apa ? Anak kecil itu menjawab dengan riang “ Bapak, Timah nak kasut” Tanpa menduga itulah kali terakhir Mak menatap wajah ayah kesayangannya. Kasut yang dipesan tak pernah tiba malah kasut menjadi simbolik hidup Mak, seolah-olah tiada berkasut zaman kanak-kanak yang emosi, sangat mencabar membesar tanpa belaian ayah dan ibu disampingnya. Selepas pemergian Nasaruddin , nenek Samsiah Hanafi telah pulang ke Alor Setar , dan Mak dibesarkan oleh datuknya Abd Rais dan ninda Hamidah Karim di Ipoh. HUBUNGAN NASARUDDIN DAN AHLI KELUARGA ABD RAIS Mak berkesempatan berbual dengan Tok Sha ( Amin Sarji Abd Rais) dan Tok Su ( Huzaimah Abd Rais) mengenai perwatakan Nasaruddin …. “ He was a perfectionist (pentingkan kesempurnaan), begitulah kata Tok Sha. “ Dia bijak, berani, berwawasan” Contoh : Nasaruddin sangat mementingkan ilmu. Ketika beliau tinggal di Ipoh, beliau telah membawa adiknya seperti Bakri & Hasan tinggal di rumah kedai berdekatan rumahnya untuk belajar & bekerja. Nasaruddin juga membawa adiknya Amin Sarji dan 2 orang anak orang Kampung , Allahyarham Haji Mohd Nor Ismail & Haji Samad tinggal bersamanya. Untuk disekolahkan di Sekolah Anglo Chinese School Ipoh. Tujuannya supaya supaya mereka belajar bukan saja menimba ilmu juga dapat bergaul dengan bangsa lain terutama orang Cina yang merupakan 99% pelajar sekolah itu. Beliau sangat senang didekati dan mesra dengan orang kg. Kata nenek saya Hajah Samsiah kepada Mak , dia sangat murah hati dan merupakan seorang dermawan. “Pak hang tu kalau kampung mai, habis kain pelikat satu almari dia huloq” Allahyarham Nasaruddin merupakan anak kesayangan , Abdul Rais dan Hamidah, kerana perwatakannya yang baik , hormat orang tua dan kasih saying pada mereka. Walaupun sebagai ahli politik yang sentiasa sibuk menghadiri menyuarat dan berjumpa orang kampung, Nasaruddin tetap akan singgah dirumah ini untuk bertemu ayah dan ibunya. Oleh kerana watak beliau yang amanah dan berwawasan tinggi , banyak asset Abd Rais diuruskannya. Tapi apa kan daya, Allah lebih sayang pada Nasaruddin, pemergian Nasaruddin , membuat keluarga Abd Rais lumpuh seperti burung patah sayap, orang buta kehilangan tongkat. Hilanglah permata yany bersinar dalam keluarga Abd Rais. Ini membuatkan Abd Rais patah hati dan merajuk dan meninggalkan Padang Tenggala . Beliau dan isteri membawa diri dan tinggal di Ipoh, hingga akhir hayat mereka. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Dengan adanya rumah warisan dan Mini galeri Nasaruddin ini, mengingatkan kita pada jasa - Allahyarham Nasaruddin. Ia memberi peluang dan ruang ahli keluarga dan penduduk Kg Padang Tenggala dan kampung-kampung sekitarnya mengenali Nasaruddin dan perjuangan kemerdekaannya. Harap ianya dapat merapatkan lagi silaturahim antara kita. Kepada anak-anak muda, contohi lah kepimpinan Nasaruddin, yang buruk dijadikan sempadan, dan yang baik jadikan tauladan. Galeri ini dapat menjadi Perkampungan Warisan Melayu Perak Tengah. Ianya dapat memberi impak kampung ini dan sekitarnya. Semoga warisan kulop Derais menjadi sebahagian Ikon penting pakage pelancongan Perak Tengah, melengkapiProduk Mukim lain, seperti IGROW Pulau Tiga. Hadirin sekalian, Para hadirin sekalian, Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana initiative yang sangat bersejarah ini, untuk menghidupkan semula warisan ini setelah 67 tahun Nasaruddin meninggal dunia. Ribuan terima kasih kepada, keluarga Allahyarham hj Hasnat, sebagai Tuan Rumah dan penglibatan mereka yang berterusan menjayakan projek ini. Ucapan terima kasih khusus untuk Cik Rubiatun Hasnat atau Kak Ton penghuni tetap rumah warisan ini dari dulu hingga kini. Terima kasih juga kerana Kak Ton menjaga, memelihara dan menceriakan rumah ini, sekian lama. Allamdulilah semoga Allah merahmati usaha murni semua pihak. Bagi pihak keluarga ini saya menyusun 10 jari memohon maaf sekiranya terkasar bahasa, dan jika terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan. Yang sempurna itu dari Allah , yang kurang itu dari kami. Sekian, terima kasih. PengarangKartini Kamalul Ariffin ArchivesCategories |